Koleksi Jual Bukus

Blog ini secara khususnya adalah untuk saya me'review' buku-buku koleksi saya.Novel-novel Melayu dan English.Segala maklumat tentang buku-buku ini turut dipaparkan supaya senang untuk sesiapa yang berminat membeli buku-buku tersebut mencarinya di pasaran.Saya juga berharap agar blog saya ini dapat membantu peminat-peminat buku mendapat maklumat dan idea tentang sesuatu buku sebelum membelinya.

Saturday, December 31, 2005

Diari Seorang Guru- S. Hawa

My Book Information :

Judul : Diari Seorang Guru

Penulis : S. Hawa

Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd

ISBN : 983-124-000-6

Edisi : 2005

Tema : Kehidupan

Mukasurat : 259

Kulit Buku : Lembut

Harga : RM 11.00

Kod : NML0010SHA0001L

My Rate : ***

Synopsis From Back Cover :

Kisah seorang guru yang mengajar di pendalaman Sabah. Dia mula mengenal erti ketabahan dan cinta. Diarinya menjadi perakan suka dan duka. Ingin kenali guru sebagai insan seni, inilah rahsianya.

My Review :

Satu sebab utama saya membeli buku ini ialah kerana tajuknya. Entah mengapa, saya selalu tertarik dengan novel-novel yang mengisahkan tentang guru. Saya menyukai profession perguruan walaupun saya bukan seorang guru.

Novel ini saya kategorikan sebagai bacaan 'santai'.Novel ini digarap dari diari peribadi seorang guru bernama Cikgu Kameliah.Saya selalu beranggapan bahawa diari sepatutnya melahirkan rasa,jiwa dan pendapat seseorang tentang sesuatu peristiwa yang berlaku di sekeliling.Tetapi sayang diari Cikgu Kameliah tidak ada rasa,emosi dan jiwa.Seolah-olah catatan repot yang kaku (formal). Apa yang baik tentang novel ini ialah garapan kemas,gaya bahasa mudah sesuai untuk bacaan santai. Malahan sepanjang saya membaca novel ini,at one point, saya sudah dapat mengagak apa kesudahan cerita di hujung novel nanti.Dan ternyata agakan saya tepat!

Keruh Di Muara- Radzemah Bolhassan

My Book Information :

Judul : Keruh Di Muara
Penulis : Radzemah Bolhassan
Penerbit : Rhythm Publishing Co Sdn Bhd
ISBN : 983-187-399-8
Edisi : 2004
Tema : Kehidupan/Romantik
Mukasurat : 391
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 16.90
Kod : NML0009RABO001LR

My Rate : ***1/2

Synopsis From Back Cover :

Kerana ego, Dasima sering menyisihkan diri daripada ibunya. Lantaran itu Dasima sentiasa merasa terasing. Dasima ingin berubah. Namun perubahan yang cuba dilakukan seolah tidak mendapat tempat di hati ibunya. Dasima kecewa lalu dia membawa diri ke perantauan. Dapatkah Dasima membina hidup baru di tempat orang atau keruh di hatinya sering bersulam ganti?

My Review :

Saya membeli buku ini kerana tertarik membaca sinopsis di belakang buku. Pada saya, plot nya berbeza dengan novel-novel yang lain. Saya juga menyukai watak Dasima. Mungkin pada sesetengah orang menganggap Dasima keras kepala tapi pada saya Dasima cekal. Dengan gaya bahasa yang mudah cerita ini diolah kemas. Penumpuan penulis dalam membangunkan watak dan suasana yang sesuai denga jalan cerita cukup meyakinkan. Walaupun novel ini saya kira untuk bacaan 'ringan', tetapi penulis tidak lupa tentang pembangunan watak dan jalan ceritaBuku ini tidak rugi untuk dimiliki.

Sebuah Kampung Di Pinggir Laut- Anita Desai

My Book Information :

Judul : Sebuah Kampung Di Pinggir Laut (karya terjemahan)
Penulis : Anita Desai
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka
ISBN : 983-62-2813-6
Edisi : 1992
Tema : Kehidupan
Mukasurat : 247
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 12.00
Kod : NML0008ANDE001L

My Rate : ****

Synopsis From Back Cover :

Thul, kampung nelayan yang kecil tidak jauh dari Bombay, masih lagi dipengaruhi oleh cara hidup lama yang banyak bergantung pada peredaran musim, sedangkan dunia luar sudah mengalami pembangunan yang pesat dan serba moden.
Hari dan Lila tinggal di kampung ini sepanjang hayat mereka, tetapi kini keluarga mereka sedang mengalami nasib yang sangat malang: Bapa mereka menjadi pemabuk, ibu mereka pula sedang sakit tenat, dan mereka sekeluarga tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan pakaian.

My review :

Menerusi gambaran yang menusuk kalbu dan gaya penceritaan yang halus dan terperinci, penulis memperlihatkan bagaimana Hari dan Lila menjadi dewasa dalam menghadapi kesulitan keluarga - pada masa yang sama juga, tanda-tanda awal perindustrian India mula muncul di kampung itu. Kisah kehidupan ini saya rasa terlalu hebat. Walaupun hanya bermukasurat sebanyak 247 tetapi penulis mampu membuai perasaan saya. Selepas membaca buku ini saya rasa sedih dan simpati yang teramat tentang kehidupan Hari, Lila dan keluarga mereka. Ini menunjukkan pembangunan watak yang baik. Saya amat mengesyorkan supaya karya baik ini dibaca dan dihayati.

Friday, December 30, 2005

Apakah Definisi Karya yang Baik?

Pada saya, secara amnya, karya yang baik ialah karya yang mampu membuatkan pembaca membaca sesebuah novel tanpa rasa bosan.Karya yang membawa unsur 'logik'. Logik di sini bukan bermaksud cerita fantasi tidak baik, tetapi cerita walau apa tema sekalipun, believable. Make your story believable.Saya pernah membaca satu novel di mana setiap rentetan peristiwa yang berlaku tidak selari dengan peristiwa sebelumnya.Ini sudah membuatkan novel ini jatuh dalam kategori 'tidak logik'.

Kriteria karya yang baik:-

Pada saya,tulislah apa saja tema yang ingin ditulis samada kehidupan,romantik,misteri,fantasi dalam apa saja bentuk-cerita kompleks,santai,remaja tetapi tulislah dengan baik.

1) Karya yang baik ialah karya yang membenarkan peristiwa yang sebelumnya.Konsisten sepanjang novel. Jangap pandang enteng pada 'time line' terutama cerita yang melibatkan 'flash back'. Jadikan karya itu 'kemas' dengan mengambil berat masalah 'time line'. Kepada pembaca sekalian, pernahkah anda membaca satu karya di mana anda keliru dengan 'time line'. cth dialog dalam hati pembaca "eh,ni time bila ni? sekarang ke or zaman flashback? atau "apsal, tak alih-alih dia ni buat benda ni , padahal baru tadi aku baca dia buat benda lain". Kalau pernah, karya itu menghadapi masalah "time line"

2) Jika ada fakta ilmiah(lebih baik),pastikan fakta itu betul,dengan melakukan research melalui pembacaan,interview atau pengalaman sendiri.jangan 'menipu' pembaca. Tulislah fakta ilmiah ni seolah-olah anda tidak 'membebel' pada pembaca dan dalam masa yang sama pembaca mendapat manfaat dari ilmu tersebut. Penulis perlu ingat karya yang dihasilkan ialah karya fiksyen, jika ingin memasukkan fakta ilmiah biarlah dengan cara pembaca tidak terasa bosan. Jika ingin berdakwah dalam karya fiksyen, pastikan anda tidak membosankan pembaca. Gunakan gaya bahasa yang mampu membuatkan pembaca terdetik keinsafan-mungkin anda dapat pahala melalui dakwah tak langsung itu.

3)Gunakan bahasa yang mudah difahami kerana apa ertinya guna bahasa 'hebat' tetapi maksudnya tidak sampai ke pembaca.Percayalah, anda adalah penulis yang hebat jika pembaca faham apa yang ingin anda sampaikan walaupun menggunakan bahasa yang 'simple'. Gaya bahasa berbeza untuk setiap penulis. Tetapi biarlah gunakan gaya bahasa yang 'simple'. Saya cukup 'pantang' jika membaca karya yang terlalu berpuitis dan berbunga-bunga.Percayalah karya yang berpuitis tidak menjadikan karya anda hebat.

4) Jangan terlau panjang menerangkan tentang sesuatu.Ini membuatkan pembaca cepat bosan. Biarlah 'flow' cerita itu laju.

5) Pembangunan watak amat penting,pastikan anda sebagai penulis meluangkan sedikit masa untuk 'berkenalan' dengan setiap watak yang anda cipta sebelum menulis karya anda. Jika anda sendiri tidak 'kenal' dengan watak yang anda cipta masakan pembaca mampu mengenal watak yang anda cipta.Pembaca boleh tahu watak mana yang berkembang iaitu wujud dalam 3 dimensi dan watak mana yang hanya wujud dalam dua dimensi saja(tidak berkembang). Pembangunan sesuatu watak dikira hebat dan berjaya jika pembaca mampu menghayati dilema watak tersebut. Apa yang penting, pembaca peduli tentang watak itu. Pembaca akan gembira,bersimpati,sedih,marah,benci dalam menghayati setiap watak dan jalan cerita. Penulis harus tahu bagaimana 'bermain' dengan emosi pembaca. Jangan terlalu banyak mencipta watak kerana hanya akan mengelirukan pembaca.

6) Perlu ada sedikit moral.Biarlah karya itu karya yang bermoral.

7) Janganlah terlalu taksub untuk menulis buku yang terlalu tebal kerana pada pendapat saya,karya yang mempunyai mukasurat antara 250 sehingga 450 sudah cukup memberi ruang untuk karya itu berkembang. Dan paling maksimum pun sekitar 500. Cukup untuk pembangunan watak, cukup untuk memasukkan unsur ilmiah atau dakwah, cuku untuk describe sesuatu, cukup untuk mengembangkan plot cerita.Kiranya dalam bahasa mudah mukasurat 250 hingga 450 mampu untuk penulis menjadikan karya mereka hebat dengan merencanakan cerita tersebut.Cukup perisa,masam,manis,pahit,pedas.

Secara peribadi, saya kurang menyukai untuk membaca novel tebal kerana ketiadaan masa, secara amnya pembaca membaca kerana hobi dan jika buku terlalu tebal, it loose its drive to attract reader's attention. Kebanyakkan karya yang tebal ni, lebih banyak meleweh-leweh and tend to be repetitive-berulang-ulang. Kecuali jika penulis mampu membuatkan cerita itu hebat,then it's okay seperti karya Warisan- Abdul Talib Hassan yang bermukasurat 800 lebih tetapi karya itu karya yang hebat,tiada ulangan, ada driver untuk menarik perhatian pembaca membaca sehingga akhir. karya Warisan tebal kerana plot yang amat kompleks dan Abdul Talib Hassan amat mengambil berat pembangunan wataknya.

Kepada penulis cerita romantik, sebenarnya anda bersaing dengan begitu ramai penulis yang tumbuh bak cendawan. Anda kena tulis kisah cinta yang tidak 'klise'. Pada saya, oleh kerana novel yang bertema romantik terlalu banyak di pasaran,saya perlu menjadi cerewet sebelum mebeli novel cinta. Apa yang saya harapkan dari novel cinta ialah KELAINAN. Anda kena cari satu plot cerita yang lain dari yang lain,itulah sebenarnya cabaran sebenar sebagai penulis. Tidak kisahlah jika cerita itu kompleks atau santai asalkan kisah cinta itu 'original' dan lain dari yang lain. Cukup membosankan jika membaca novel cinta yang sama sahaja cuma penulis dan nama watak yang berbeza.

Jika perlu masukkan unsur-unsur misteri dan suspens. Unsur misteri tidak bermakna hanya pembunuhan sahaja.Kehidupan realiti itu sendiri sebenarnya bersulam dengan misteri.Jadikan misteri itu satu 'driver' untuk menarik pembaca mengetahui kesudahan cerita anda. cth misteri mengapa Rahman mencintai Julia.Masih lagi kisah cinta tapi ada unsur misteri. Life is just like a puzzle. Life without puzzles is death.

Saya tidak kisah membaca karya dari penulis lelaki mahupun perempuan.Pada saya tidak adil membuat perbandingan secara general.Penulis laki begini penulis perempuan begitu. Pandang seseorang penulis itu secara individual. Abdul Talib Hassan seorang penulis yang mampu bermain dengan emosi walaupun dia seorang lelaki. Penulis yang hebat boleh saja datang dari jantina yang berlainan. Apa yang penting bakat dan kemampuan dan usaha seseorang dalam menghasilkan karya yang hebat

Saya benar-benar berharap agar rak-rak buku di seluruh kedai buku mempunyai 90% karya yang bermutu dari penulis tempatan tak kiralah perempuan atau lelaki.

Pencarian saya dalam mencari karya yang bermutu belum berakhir. Masih ada pengharapan yang bersisa dalam diri saya untuk membaca karya-karya anak Malaysia(terutama Melayu) yang bermutu dan mempunyai 'jiwa' yang mampu menjentik rasa.

Teruskan lah berkarya!!!

Cheerio

Jalur Sinar Di Celah Daun- Zaharah Nawawi

My Book Information :

Judul : Jalur Sinar Di Celah Daun
Penulis : Zaharah Nawawi
Penerbit : Berita Publishing Sdn Bhd
ISBN : 967-969-013-X
Edisi : 1984
Tema : Kehidupan
Mukasurat : 180
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 5.50
Kod : NML0007ZANA001L

My Rate : ****

Synopsis From Back Cover :

Pada mulanya dua orang teman remaja-Dali dan Tijah- yang memulakan rumahtangga sebagai peneroka muda sekadar ingin mencari hidup yang sederhana dan bahagia. Tapi satu kebakaran telah secara mendadak menyeret mereka ke dalam beberapa pancaroba hidup menyebabkan si suami terdampar ke penjara, dan si isteri tersisih di desa.
Dalam satu rentetan peristiwa yang penuh cemas berbaur kasih, mereka bangun secara sendiri-sendiri, dan akhirnya berjaya membina semula rumahtangganya yang hampir musnah.

My Review :

Satu karya yang pada saya amat baik. Perlu dimiliki oleh pencinta buku. Dengan kehadiran buku ini, pada pendapat saya, layaklah Zaharah Nawawi menjadi salah seorang penulis yang disegani. Novel ini juga membezakan penulis ulung dengan penulis kontemporari dalam menghasilkan karya masing-masing.
Dengan bahasa yang segar dan plot tyang tidak berbelit, penulis berusaha menjalin sebuah novel kehidupan rumahtangga peneroka yang mencabar. Penulis ternyata ingin meyakinkan bahawa seorang wanita tetap dapat menjadi ilham utama yang berkesan kepada lelaki, dan bahawa setiap cabaran hidup sebenarnya dapat cepat memperkaya dan mendewasakan lahir dan batin seseorang.
Dengan membaca karya ini, saya pasti penulis ini tahu apa yang ditulis,maksudnya dia membuat 'research' sebelum menulis kerana pewristiwa yang dipaparkan dalam novel ini terasa benar dan logik. Seseorang penulis tidak perlu melalui pengalaman tentang sesuatu yang dia tulis(walaupun pengalaman sendiri lebih baik), cukuplah dengan membaca dan membuat kajian. Buku ini sudah terlalu lama saya miliki sehingga beberapa helaian mukasuratnya terkeluar. Tetapi buku ini terlalu istimewa buat saya dan saya percaya anda semua akan berkata begitu jika membaca buku hebat ini. Nasihat saya,jika masih ada di pasaran, 'grab it from the shelf before it's too late' kerana buku ini amat berbaloi.

Andainya Kutahu- Puteri Andalas

My Book Information :

Judul : Andainya Kutahu
Penulis : Puteri Andalas
Penerbit : Khalysa Publications & Distributors
ISBN : 983-40714-4-2
Edisi : 2004
Tema : Kehidupan/Romantik
Mukasurat : 514
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 19.90
Kod : NML0006PUAN001LR

My Rate : ****

Synosis From Back Cover :

Ibunya murtad!
Sali Aida malu lantas menidakkan kehadiran wanita yang melahirkannya ke dunia. Padanya kasih nenek adalah segala-galanya namun bukan untuk selama-lamanya. Kedewasan menyedarkan dia ada luang kosong dalam hidupnya. Sunny muncul di tengah -tengah kekosongan itu. Kehadiran Sunny untuk menyatukan dia dan ibu menyingkap nostalgia manis masa lalu. Tanpa diduga kehadiran Sunny menyemai cinta melakar rindu.
Lain misi lain pula terjadi. Mereka hanyut membina impian yang tidak berkesampaian terdampar kelemasan dilambung ombak cinta yang nyata berkesempadanan...
" Ya...Allah tabahkanlah hati hambaMu ini. Jauhkan dari kesesatan. Dorongkan aku hambaMU yang lemah ini ke jalan yang Kau redhai." Semoga Sunny juga tabah menerima perpisahan yang menyakitkan ini...

Seandainya kutahu kau memang milikku...
Seandainya kutahu begitu luhur hati ibu...
Taklah seberat ini beban penderitaan yang kugalas di bahu...

My Review :

Kehidupan Sali yang sedikit terganggu selepas mengetahui ibunya murtad menjadikan dia seorang anak yang membenci ibunya. Sunny hadir ketika dia dalam kebencian itu menghulurkan rasa cinta dan penyesalan dalam diri Sali.
Novel yang saya rasa sungguh baik dari segi plot cerita. Gaya bahasa yang mudah walaupun membawa cerita yang kompleks menjadikan buku ini 'laju' untuk dibaca. Penulisan novel ini 'kemas'.Pembangunan watak yang baik menjadi pendorong untuk saya menghayati watak Sali dan beberapa watak lain. Apa yang membuatkan saya gembira dengan novel ini ialah penulis memasukkan unsur-unsur dakwah yang ringan menjadikan buku ini sedikit 'ilmiah'. Kesudahan cerita yang bermoral membuatkan novel ini 'as one of the kind'.
Novel ini menggembirakan saya, kerana membenarkan keyakinan saya bahawa masih terdapat penulis yang bermutu karyanya yang belum saya temui lagi.

Seabadi Kerdipan Cintamu- Fazurreeny Marhanif

My Book Information :

Judul : Seabadi Kerdipan Cintamu
Penulis : Fazurreeny Marhanif
Penerbit : Kreatis Medialoka Sdn Bhd
ISBN : 983-2984-06-8
Edisi : 2005
Tema : Romantik
Mukasurat : 228
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 15.00
Kod : NML0005FAMA001R

My Rate : **1/2

Synosis From Back Cover :

Terkurung di dalam kepompong ketidaksempurnaan, budi dan keikhlasan Fadina seolah tiada kepentingan. Wajah tiada seri. Tubuh tiada potongan. Namun, segalanya bakal berubah tatkala Fadina menerima sebutir permata istimewa.
Berlian misteri memancarkan harapan. Harapan cinta abadi Fadina dan Iskandar, lelaki idaman yang tidak mungkin dimiliki. Berlian mistik seolah cuba menyingkap masa depan. Masa depan Iskandar bersama wanita-wanita 'sempurna', dan cinta Fadina yang tidak kesampaian.
Kebahagian mungkin samar. Cinta mungkin khayalan semata-mata. Namun masanya sudah tiba untuk Fadina mencorakkan realitinya.

My Review :

Cerita ini mengisahkan tentang seorang gadis yang menghadapi masalah berat badan, obesiti, dalam mencari cinta.Dengan berat badannya mencecah 105kg, Fadina sering menjadi bahan ejekan,bahan gelak kawan-kawan. Dek masalah ini Fadina sentiasa rendah diri, dan pasti bahawa tak mungkin ada seorang lelaki yang mahu menjadikan dirinya sebagai kawan apatah lagi sebagai pasangan hidup.
Saya kira plot yang ingin ditampilkan oleh penulis ini amat menarik kerana saya belum pernah membaca buku di pasaran tentang dilema orang 'gemuk' mencari jodoh. Gaya bahasa yang 'sempoi' meletakkan buku ini untuk bacaan peringkat remaja. Dengan 228 mukasurat,saya menjadi faham mengapa pembangunan watak tidak berapa baik. Watak Fadina boleh dikembangkan untuk menjadikan pembaca lebih bersimpati dengannya. Nasha, teman baik Fadina diwujudkan untuk menjadi kontradiksi dari watak Fadina. Nasha yang cantik,kurus berbeza dengan watak utama iaitu Fadina, yang gemuk dan hodoh.
Walaupun begitu, saya kira cerita ini 'kemas'. Sepanjang saya baca novel ini, tak pernah sekali saya 'keliru' menunjukkan penulis ini berjaya menulis dengan baik walaupun penggunaan gaya bahasa yang agak 'sempoi'.
Cuma saya mengharapkan, dengan plot yang begitu baik, cerita ini menjadi sedikit 'dewasa' dalam gaya penulisan dan persembahannya.

Monday, December 26, 2005

Rindu Yang Pergi- Fazie Hanna

My Book Information :

Judul : Rindu Yang Pergi
Penulis : Fazie Hanna
Penerbit Alaf 21 Sdn Bhd
ISBN : 983-124-152-5
Edisi : 2005
Tema : Romantik
Mukasurat : 352
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 13.00
Kod : NML0006FAHA001R

My Rate : ***

Synopsis From Back Cover :

Hidup ini sukar diramalkan; terlalu penuh dengan kesukaran, kepahitan dan kesakitan. Bukan mudah sebenarnya untuk menggapai bahagia. Kadangkala betapa kebahagiaan itu cuba dihampiri, namun semakin jauh ia pergi.
Nia Karmila... nama yang indah itu tidak seindah dengan hidup yang dilaluinya. Dugaan yang menimpa dirinya meragut segala kegembiraan yang dimiliki. Kebahagiaannya punah dalam sekelip mata. Hati mana yang tidak luluh, andai kehidupan menjadi pertaruhan. Hati mana yang tidak gundah, mahu menanggung keperitan yang tidak ada penyudah. Cuma yang tinggal, semangat yang ada kalanya goyah bersama keperitan yang datang menerjah.
Namun, kuasa ALLAH mengatasi segala. Hadir seorang lelaki bersama kasihnya yang tidak pernah padam. Rashdan... lelaki yang sanggup menerima segala kekurangan. Lelaki penyayang itu menyedarkan dia, membuat dia mengerti, hidup sebenarnya penuh misteri. Setiap hari ketika mentari muncul, dia bersyukur kerana masih bernafas. Setiap hari apabila mentari pergi, dia menanti penuh debar hari-hari yang mendatang.
Lalu wanita di ufuk pasrah ini menanti dengan doa, semoga suatu saat nanti penderitaan itu akan berlalu pergi. Lalu dia menanam tekad di hati, dia mahu sepuas-puasnya menikmati hidup ini dengan kasih sayang yang diberi....

My Review :

Plot yang menarik dan gaya bahasa simple. Cuma melalui pembacaan saya, gaya bahasa dan olahan cerita ini agak kurang mengancam. Sesiapa yang telah membaca beratus-ratus novel, pasti sudah ada 'sixth sense' iaitu 'sense' atau 'rasa' sesebuah karya itu menghadapi masalah atau tidak. Gaya bahasanya agak 'kaku'. Susah saya hendak describe 'rasa' itu. Satu yang saya detect, penulis yang sudah lama dan berpengalaman susah nak menghadapi masalah gaya bahasa dan olahan (walaupun plot cerita itu kurang menarik dan pembangunan watak yang tidak berkembang) berbanding dengan penulis- penulis baru. Mungkin saya yang kurang menggemari olahan dan gaya bahasa penulis ini.
Kehebatan novel ini ialah, plot yang berkembang dengan baik dan melalui penulisan itu, saya turut bersimpati dengan nasib watak utama iaitu Nia Karmila dalam menempuhi kehidupan dan rentetan pencintaannya sebagai seorang yang berpenyakit. Lagi satu yang saya suka tentang buku ini, buku ini tidak hanya menekankan tentang pencintaan semata antara Nia Karmila dan Rashdan, tetapi menyentuh tentang laluan hidup sebagai manusia yang berpenyakit.

Megalomania- Fatinilam Sari Ahmad



My Book Information :

Judul : Megalomania

Penulis : Fatinilam Sari Ahmad

Penerbit : Creative Enterprise Sdn Bhd

ISBN : 983-893-529-8

Edisi : 2003

Tema : Kehidupan/ Misteri/ Romantik

Mukasurat : 505

Kulit Buku : Lembut

Harga : RM 23.90

Kod : NML00113FSA001LMR

My Rate : ***

Synosis From Back Cover :

Apabila kepercayaan orang telah lenyap, kehormatan diri telah musnah, diri diibaratkan telah menemui kematian. Itulah yang berlaku dalam hidup Andy Farhan. Musibah datang bertimpa-timpa tanpa dia berupaya menepisnya. Kesilapan yang dilakukannya menyebabkan dia dituduh membunuh isteri dan adik tiri sendiri. Tiada siapa yang simpati kecuali gadis itu... Noreen Sheila. Seorang peguam yang juga adik sepupu yang telah lama terpisah, merangkap kekasih di dalam diam. Dia berjuang untuk membersihkan namanya yang telah tercemar dan yang paling penting, dia kini turut berjuang untuk merebut kembali cinta Sheila yang telah lama terbiar.... Dia bertekad untuk tidak melakukan kesilapan lagi pada hari-hari yang mendatang kerana semalam telah menjadi guru yang mengajarnya erti kehidupan.

My Review :

Sebenarnya saya amat suka plot yang sebegini, di mana elemen misteri dimasukkan dalam penceritaan cinta antara Andy Farhan dan Sheila. Tapi novel ini adalah contoh terbaik dalam permasalahan 'timeline'. Saya berasa sangat keliru ketika membaca buku ini, keliru dari segi 'period'. Watak Maslina iaitu isteri Andy Farhan seolah-olah mengandung lebih dari sembilan bulan kerana masalah 'timeline'.

Pembangunan watak yang baik dan gaya bahasa yang baik saya kira mengimbangi masalah timeline itu. Kadang-kadang saya diundang rasa bosan ketika membaca buku ini kerana pertama masalah timeline, kedua, intipati cerita ini agak longgar. Misteri pembunuhan itu sesuatu yang saya kira 'besar'-klimaks, tetapi dikupas seolah-olah misteri pembunuhan itu sesuatu yang 'tidak ada apa-apa'. Berbeza dengan karya-karya Abdul Rahim Awang, Ramlee Awang Murshid- kupasan tentang sesuatu misteri itu digarap dan ditangani sebegitu 'detail' membuatkan pembaca merasakan klimaksnya.

Jangan salah sangka, penulis ini sebenarnya penulis yang berbakat, tetapi jika hendak kan karya yang bagus dari penulis ini bacalah Kesturi dan Cendrawasih.

Yang Terindah- Anis Ayuni


My Book Information :

Judul : Yang Terindah
Penulis : Anis Ayuni
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
ISBN : 983-124-125-8
Edisi : 2004
Tema : Romantik
Mukasurat : 448
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 15.00
Kod : NML0005ANAY001R

My Rate : ****

Synopsis From Back Cover :

Elly, gadis pingitan yang tidak pernah mengecap kasih seorang ayah. Lalu, rasa sayangnya tertumpah pada Zahari, lelaki tempatnya berkongsi suka dan duka selama ini. Masa yang berlalu menginjak usia. Rupanya dalam diam, telah lama lelaki itu menaruh hati terhadapnya.Tapi, mana mungkin dia membalasnya. Dia tidak tega menerima lafaz cinta seorang lelaki yang telah bertahun-tahun dianggapnya sebagai abang sendiri. Lantas dia mengambil keputusan menjauhkan diri.Namun, perpisahan itu menyedarkannya bahawa lelaki itu amat dekat di hati dan dikasihi. Payahnya menerima hakikat; perpisahan itu begitu menyakitkan, mendera rindu dan menghukum perasaan sendiri.Saat hatinya terbuka untuk menerima Zahari, kehadiran Dr. Hazlin merobek segala impian. Berjayakah dia memiliki semula hati lelaki yang telah ditolak cintanya itu atau cukupkah sekadar mengabadikan momen terindah itu dalam kenangannya?Persoalan demi persoalan tidak terungkai, namun yang pasti lelaki itu amat dicintainya...

My Review :

Buku ini adalah karya yang bagus. Ada beberapa sebab mengapa saya katakan buku ini karya yang baik. Pertama olahan dan gaya bahasa penulis ini baik, dan tidak mengelirukan. Kedua penjiwaan pembaca menjiwai watak- watak dalam karya ini terkesan kerana pembangunan watak yang amat baik. Ketika membaca karya ini saya berasa ada sesuatu yang menarik saya untuk terus membacanya hingga ke akhir cerita. Pada saya, tarikan itu hanya hadir jika olahan dan garapan seseorang penulis itu baik. Dan buku ini di dalam kategori itu.

Cara penulisan penulis ini saya kira berjaya menarik minat saya untuk membeli karya-karyanya yang lain. Saya meletakkan karya ini sebagai sebuah karya yang baik, bawah sedikit dari Satu Janji karya Ramlee Awang Murshid. Tidak rugi memilikinya.

Friday, December 23, 2005

Kriteria Novel Dari Penerbit

Lambakan novel-novel Melayu di pasaran seolah-olah 'memberitahu' saya bahawa sudah ramai orang Melayu(mungkin juga segelintir orang bukan Melayu) mempunyai tabiat membaca novel.Saya ingin membuat perbandingan antara beberapa syarikat penerbit yang 'besar'.Ini tidak termasuk syarikat yang ditubuhkan oleh penulis untuk menerbitkan buku sendiri.

Syarikat penerbit:-

1) Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB)
2) Alaf 21(Alaf)
3) Rhythm Publishing (NSCR)
4) Utusan Publishing (UP)
5) Penerbit Fajar-Ghostwriter (PFG)

Ketika pembeli ingin membeli sesebuah novel,pembeli ingin mengetahu plot cerita novel yang ingin dibelinya.Ini sebab utama yang paling asas mengapa pembeli membeli sesebuah novel(belum ambil kira kecantikan cover,kecenderungan memilih karya seseorang penulis,budget, dan terpengaruh dengan review kawan-kawan atau dari internet).

Bagaimana pembeli ingin mengetahui plot sesebuah cerita sedangkan hampir semua novel baru dibalut dengan plastik.Sudah semestinya sinopsis di belakang kulit novel akan membantu pembeli mengetahui secara ringkas tentang plot sesebuah novel.Kebanyakkan novel-novel terbitan CESB dan PFG mempunyai sinopsis yang tak 'straight to the plot',banyak meleweh-leweh dengan menggunakan bahasa yang berpuitis.Sepatutnya sinopsis seharusnya menerang plot novel secara ringkas.Tak usahlah nak gunakan ayat-ayat berpuitis yang meletihkan kerana ketika pembeli pergi ke kedai buku dan melihat buku,mereka ingin memahami isi buku dengan cepat kerana terdapat ratusan buku di rak dan hanya ingin membeli dua atau tiga buku dan mencari plot yang berkenan di hati.Novel-novel Alaf,UP dan NSCR mempunyai kelebihan kerana sinopsis di belakang kulit novel menerangkan plot cerita dengan ringkas dan tidak gunakan ayat-ayat yang berpuitis dan susah nak faham dalam waktu yang singkat(ingat,paling lama seseorang memilih buku dalam 2 jam).

Dari segi cover,memang CESB mendahului yang lain,dengan cover yang warna-warni dan gambar yang cantik bak lukisan menambat hati pembeli.Sedangkan yang lain hanya biasa-biasa saja.Walaupun begitu,perlu diingat,kulit buku yang baik,cerita yang baik tetapi jika tidak membantu pembeli mengetahui plot cerita secara ringkas,tidak ada gunanya(setiap buku dibalut dengan plastik).

Secara relatifnya,kesemua novel Alaf,NSCR, dan PFG menggunakan kertas yang lebih bermutu berbanding CESB dan UP(sesetengah novel CESB dan UP masih guna kertas murah).

Harga novel-novel Alaf dan NSCR agak murah berbanding novel-novel CESB,PFG dan UP jika diambil kira ketebalan mukasurat sesebuah novel.

Secara relatifnya,kebanyakkan novel-novel CESB dan UP membawa tema yang 'berat' dan kompleks berbanding Alaf 21 dan PFG yang lebih cenderung menerbitkan novel-novel yang bertema 'santai' manakala NSCR seimbang antara tema yang 'berat' dan 'santai'.

Syarikat penerbit mana yang 'memudahkan' pembeli membeli dan mendapatkan novel-novel mereka selain dari cara konvensional iaitu membeli di kedai-kedai buku?

1) Suka atau tidak,website di internet banyak membantu.Setakat ini CESB,Alaf,NSCR dan UP yang ada website sendiri (website UP dah tak boleh masuk).Di sini saya memuji Alaf kerana pembeli boleh membeli novel-novel mereka di internet dengan cara transfer money melalu Maybank 2u.Ini memudahkan pembeli membeli novel-novel Alaf.Manakal CESB dan NSCR masih menggunakan cara konvensional iaitu dengan menggunakan wang pos(pembeli tak ada masa lah nak pergi pejabat pos dan apa ertinya beli di internet jika tidak memudahkan pembeli-baik beli di kedai).Manakala PFG langsung tak ada website-sayang kerana website adalah satu strategi pemasaran dan pemberitahuan bahawa sesuatu produk itu wujud.

2) Katalog-CESB sentiasa mengeluarkan katalog buku mereka di majalah "Gila-gila".dan Alaf akan memberi secara percuma katalog buku(senang,dengan hanya mengisikan borang permintaan katalog di website dan tak sampai seminggu katalog berada di tangan pembeli).

Katalog di belakang buku-NSCR dan PFG bagus dalam hal ini kerana mereka memudahkan pembeli membeli buku-buku yang lain(walaupun pembeli masih kena membuat wang pos).Manakal Alaf dan CESB hanya membuat katalog ringkas(kurang dari 10 buku),tetapi Alaf akan memberi sinopsis novel-novel lain di belakang setiap novel mereka which is good

Alaf sahaja yang memperkenalkan penulis mereka di website(oleh itu pembaca boleh mengenali penulis buku yang mereka gemari-percaya atau tidak penulis juga adalah selebiriti-pembaca ingin tahu dan kenal penulis-penulis buku yang mereka gemari-believe me,ianya satu strategi pemasaran-memasarkan novel dan juga penulisnya).PFG memperkenalkan penulis mereka di setiap novel yang diterbitkan.

Penerbit buku baru:
Kreatis Medialoka Sdn Bhd (KM)
NHF Media Corp Sdn Bhd
Ar-Risalah Product Sdn Bhd (aR)
Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd


dan beberapa syarikat penerbit milik beberapa orang penulis.

Nasihat kepada semua penerbit buku.

Buku yang baik tidak akan diketahui orang jika tidak ada promosi dan (availability) yang baik.Promosi yang baik tidak akan berkesan jika tidak ada sinopsis yang baik.Sinopsis yang baik tidak akan berkesan jika harga buku tidak kompetitif(harga terlalu mahal).

Nasihat kepada pembeli novel-novel melayu.

Jangan hanya pandang satu-satu penerbit sahaja kerana penulis yang baik(tak kira baru menulis atau sudah lama menulis) terdapat di semua syarikat penerbit.Dan penulis yang baik tidak semestinya semua karya mereka baik.Oleh itu bijak lah memilih sebelum membeli novel.

Sunday, December 18, 2005

Maafkanlah Aku...-Zaharah Muhammad

My Book Information :

Judul : Maafkanlah Aku...
Penulis : Zaharah Muhammad
Penerbit : Creative Enterprise Sdn Bhd
ISBN : 983-893-558-1
Edisi : 2004
Tema : Kehidupan/Romantik
Mukasurat : 416
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 20.90
Kod : NML0004ZAMU001LR

My Rate : ***1/2

Synopsis From Back Cover :

Nostalgia silam bagaikan berenang-renang mencari lubuk lama yang ditinggalkan. Saban waktu pada akhir-akhir ini... kerap kali jua muncul aliran rindu yang membasahkan lenanya. Menjadikan rasa sayu yang sering kalinya bergayut di pelupuk mata, akhirnya satu, satu, gugur membasahi laman nestapa. Bilakah waktunya kita dapat bersatu seperti dulu... berkejar di batas sawah sambil menangkap belalang padang, mengumpulkannya untuk menjadi juara lalu melepaskannya semula? Bilakah lagi kita dapat bersama bermain hujan pada lewat petang sambil menunggu ayah ibu pulang? Dan kini kemboja telah berguguran bunganya... pertemuan telah tiada lagi makna... Namun kasih sayang yang tinggal umpama baja yang menghidupkan satu nyawa...

My Review :

Sebelum saya meneruskan komen saya tentang novel ini,ingin saya nyatakan bahawa novel ini saya anggap cukup istimewa dan yang pasti saya akan membuka buku ini semula di masa akan datang untuk menghayati beberapa bahagian dalam novel ini yang saya kira amat baik untuk jadi panduan hidup kerana selari dengan ajaran Islam.Novel ini banyak 'mempromosikan' fitrah manusia dengan Khaliknya,akidah muslim dan muslimat yang sepatutnya diikuti dan cara terbaik menangani masalah yang melanda hidup manusia iaitu dekat dengan Allah.

Jarang penulis yang berani membawa persoalan ini dalam novel mereka.Watak utama dalam novel ini ialah Sufi,seorang wanita yang cuba menangani setiap masalah dan persoalan dengan berlandaskan ajaran Allah lantas dia menjadi manusia yang sentiasa mudah sedar di atas setiap kesilapannya.Plot cerita yang kompleks tetapi cara olahan dan garapan penulis ini kurang kemas.Maksud kurang kemas di sini ialah saya susah nak bezakan di antara 'flashback' dan peristiwa yang berlaku sekarang.Sepatutnya penulis memberitahu penulis dengan menulis '3 bulan yang lalu...' sebagai contoh ataupun gunakan perenggan yang terpisah.Ganti nama diri yang tidak konsisten,sekejap penulis menggunakan 'aku' sekejap 'Sufi' mengacau sedikit 'mood' saya untuk meneruskan pembacaan.

Benar,novel ini mempunyai plot yang kompleks tetapi diselamatkan dengan gaya bahasa yang 'simple'.Oleh itu maksud yang ingin disampaikan oleh penulis dapat difahami pembaca.Ada beberapa perkara yang kabur seperti pembangunan watak yang tidak seimbang.Beberapa watak dalam cerita ini dibangunkan dengan cukup baik tetapi ada watak yang tidak dibangunkan seperti watak Badrul Hisyam.Lebih baik wataknya ditiadakan langsung.Persoalan mengapa dua pasang kembar saling dipisahkan sejak lahir.Atas alasan apa kedua-dua keluarga menukar pasangan kembar masing-masing?Watak Tuk Ngah yang dibangunkan untuk mencerita kisah silam tidak memberitahu alasannya.

Subplot dalam cerita ini disulam kemas dengan plot utama jadi tidak nampak janggal.Cuma satu persoalan saya,jika lelaki A dan lelaki B adik beradik,bolehkah anak lelaki A dan anak lelaki B berkahwin?Setahu saya Islam mengharamkan perkahwinan ini kerana pertalian darah yang amat kuat.Saya hairan mengapa penulis yang mempromosikan Islam tidak mengupas isu ini tetapi secara tak langsung melalui penulisannya seolah-olah 'menghalalkan perkahwinan ini.

Satu Janji-Ramlee Awang Murshid

My Book Information :

Judul : Satu Janji
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
ISBN : 983-124-118-5
Edisi : 2003
Tema : Kehidupan/Romantik/Misteri/Detektif
Mukasurat : 548
Kulit Buku : Lembut
Harga : Rm 19.90
Kod : NML0003RAM001LRMD

My Rate :****1/2

Synopsis From Back Cover :

Balas dendam, pencarian keluarga kandung, keadilan, kasih sebuah percintaan, air mata dan kesetiaan seorang lelaki yang bernama suami, adalah satu janji yang melingkari hidup Luqman.
Tragedi pembunuhan ayah Luqman, telah membuka satu rahsia yang menjadi hijab jalur pengkhianatan. Pada ketika inilah Luqman menemui Adelia Mustapha. Kasih dan cinta Luqman, rupa-rupanya menjadi racun berbisa di hati Adelia.
Janji yang begitu teguh di hati Luqman akhirnya membawa musibah. Dengan segala kudrat, Luqman berusaha bangkit untuk menggapai janjinya semula.
Dan di hadapannya ada seseorang yang telah menghulurkan tangan untuk membantu Luqman melaksanakan satu janji yang pernah terungkai.

My Review :

Satu karya yang sangat bagus.Penulisan yang bagus.Entah mengapa novel ini mengingatkan saya kepada Sidney Sheldon,sememangnya Ramlee Awang Murshid boleh digelar 'Sidney Shelson Malaysia'.Selain novel Abdul Rahim Awang,novel Ramlee Awang Murshid sentiasa berada dalam kategori 'mesti beli' dalam list saya.Sebenarnya saya telah membeli kesemua novel-novel penulis ini,cuma saya baru 'berkesempatan' membaca Satu Janji.Ini kerana saya asyik membaca novel-novel English dan ketidakpercayaan saya terhadap kemampuan penulis Melayu.Mengapa saya tetap membeli novel penulis ini walaupun tidak membacanya sejak zaman Tombiruo lagi?Jawapan nya ialah penulis ini dan Abdul Rahim Awang sentiasa menulis plot cerita yang berbeza dengan penulis-penulis lain.
Novel ini menceritakan perjalanan hidup Luqman dan beberapa watak utama yang saling berkait rapat antara satu sama lain.Pembangunan watak-watak dalam cerita ini sangat baik dan membuatkan saya seperti sudah kenal lama dengan watak-watak utama dalam cerita ini,terutamanya watak Luqman.Gambaran sifat dan sikap Luqman membuai perasaan saya dan membuatkan saya gembira,sedih,simpati,kasihan,gelihati dengan setiap peristiwa yang melanda Luqman.Begitu hebat sekali penulis mewarnai watak Luqman.Jika Luqman wujud di dunia nyata ini,saya rasa ramai wanita yang sudi menjadi isterinya.Cuma penulis tidak menggambarkan fizikal Luqman.
Ini bukan cerita romantik semata,tetapi bukan juga cerita detektif dan misteri semata.Novel ini membawa tema yang besar iaitu kehidupan dan kehidupan itu sendiri tidak lari dari kisah romantik dan misteri.
Plot cerita yang sungguh bagus dan setiap subplot dianyam dengan begitu logik di akhir cerita.
Secara jujur saya katakan, saya bersengkang mata membaca buku ini kerana perasaan ingin tahu tentang cerita seterusnya.
Ditambah pula gaya bahasa yang mudah dan tidak berpuitis,menjadikan novel ini 'laju' untuk dibaca walaupun ceritanya cukup kompleks.
Nasihat saya kepada pembaca sekalian,jika ingin membaca novel ini pastikan keesokan harinya adalah hari minggu kerana novel ini pastinya membuatkan anda tak boleh tidur malam dek nak menghabiskan buku ni in one shot.

Sempadan Tanpa Seri-John Norafizan

My Book Infromation :

Judul : Sempadan Tanpa Seri
Penulis : John Norafizan
Penerbit : Creative Enterprise Sdn Bhd
ISBN : 983-893-523-9
Edisi : 2003
Tema : Kehidupan/Romantik
Mukasurat : 389
Kulit Buku : Lembut
Harga : RM 20.90
Kod : NML0002JONO001LR

My Rate :***

Synopsis From Back Cover :

Hidup tidak semudah yang dijangkakan. Dia tidak pernah menceritakan kepada dunia tentang pedih lukanya hidup pada zaman kanak-kanak. Tentang nostalgia silamnya yang berdarah. Tentang harga sebuah kebencian yang akhirnya menjadikan dia seorang pelarian. Betapa dia bahagia di sini... Putih salji telah menyaksikan tingginya nilai persahabatan, keikhlasan yang muncul di celah-celah kuntuman tulip segar. Dia bahagia tatkala melihat guguran daun yang memenuhi jalanan kerana pabila musim panas muncul, segala-galanya kembali nyata. Cintanya jua berputik di sini... mekar bersama musim yang silih berganti... Lantas dia alpa pada duri-duri yang menanti, pada duka dan sengsara yang cuba dihindari... pada petaka yang menjadikan dia hilang hakikat diri...

My Review :

Kisah suka-duka kehidupan seorang pemuda bernama Asnawi Bin Mohammad.Cerita ini berkembang dari kisah silam Asnawi ketika kecil dan juga ketika Asnawi belajar di Manchester,England.Ada beberapa sub-plot yang turut menyokong cerita ini.
Karya pertama John Norafizan ini sebenarnya, mempunyai plot yang menarik.
Gaya bahasa yang tidak berpuitis memudahkan saya untuk mengikut cerita ini, tetapi ada ketikanya gaya bahasa agak 'kaku' terutamanya dialog watak orang putih.Mungkin itu tujuan penulis.Beberapa peristiwa yang berlaku agak tidak logik,contohnya ketika bapa Elizabeth datang ke majlis perkahwinan Asnawi,sekali terserempak dengan Zainab,tindakannya terus balik ke Holand?Kedua, penggunaan nama yang sama -ketika Asnawi menumpangkan seorang lelaki yang bernama Muhammad Abdullah bersama tiga orang wanita dan salah seorangnya ialah Elizabeth dari rumah Mufti Javed ke Hulme dan nama Islam bapa Elizabeth Benjamin Patrick Thornston-ialah Muhammad Abdullah? Mungkin penulis terlepas pandang perkara ini.Saya benar-benar keliru tentang penggunaan nama itu.
Satu watak yang meninggalkan kesan ialah watak Zainab iaitu ibu kepada Asnawi.Watak ibu yang tidak stereotype.Watak Zainab digambarkan sebagai watak yang terlampau garang,dan penulis menggambarkan watak Zainab dalam beberapa peristiwa yang berbeza dengan ibu normal yang lain.Saya benar-benar menyampah dengan watak Zainab.
Keseluruhan,plot cerita yang menarik dengan gaya yang mudah.



Saturday, December 03, 2005

Ego-Abdul Rahim Awang

My Book Information :

Judul : Ego
Penulis
: Abdul Rahim Awang
Penerbit
: Creative Enteprise Sdn Bhd
ISBN : 983-893-578-6
Edisi
: 2004
Tema
: Misteri/Detektif
Mukasurat : 467
Kulit Buku
: Lembut
Harga : RM 22.90
Kod
: NML0001ARA001MD

My Rate : ****

Synopsis From Back Cover :

Salina menyayangi peria-peria itu. Bersama mereka, Salina mengorak langkah mewarnai kehidupan yang baru bermula, jatuh bangun, bersusah payah meredah segala onak dan cabaran yang ada waktu-waktunya menggegarkan hati dan emosi. Dan sebagai manusia biasa, Salina ada waktu-waktunya terlepas kata, terbabas gurauan... menyalah anggap antara kebenaran dan ketidakjujuran. Menyelami tiap hati antara mereka, Salina tidak temui luka silam yang telah menular menjadi dendam. Dendam yang kini telah menjadi racun antara mereka. lalu ikatan persahabatan yang tersimpul erat, tiba-tiba bertukar menjadi ranjau yang mengerikan. Terjerat. Sedikit kesilapan akan menjadikan Salina mangsa terakhirnya...

My Review :

Saya sudah lama meminati karya Abdul Rahim Awang malahan saya ada semua koleksi buku-bukunya kecuali buku pertamanya iaitu Konspirasi.Saya membeli buku ini pada tahun lepas ie 2004 tetapi baru berkesempatan membacanya pada bulan November 2005.
Sebelum membacanya,saya ramalkan buku ini setanding dengan karya2 Abdul Rahim Awang yang lain seperti Konspirasi,Saka,Obsesi,Verdict dan Zamrud.Ya,buku ini tiada bezanya dari genre misteri,suspens dan detektif yang pernah ditulis olehnya dan dia masih lagi ber'bisa' dalam menulis genre ini.Bahasa dan gaya penulisan yang digunakan tidak 'pretentious' membuatkan novel ini mudah dan laju untuk dibaca.
Novel ini mengisahkan sekumpulan sahabat sejak dari universiti bersahabat baik sehingga ke alam pekerjaan.Tetapi satu demi satu sahabat dalam kumpulan ini mati dan adakah setiap kematian itu saling berkait rapat antara satu sama lain.'Along the way' untuk mengetahui pembunuh mereka,konflik demi konflik terjadi.
Secara keseluruhannya, buku ini membuatkan saya ingin mengetahui kesudahan cerita kerana olahan cerita yang simple dan suspens.Kepada sesiapa yang meminati buku detektif dan peminat setia karya Abdul Rahim Awang,semestinya buku ini boleh dijadikan koleksi peribadi anda.